Sabtu, 30 Oktober 2010

Khasiat & Kelebihan Buah Betik


Buah betik adalah buah yang baik sekali untuk dimakan ketika kita sakit mahupun sihat. Selain dari sumber makanan yang murah dan senang didapati, buah betik juga mengandungi khasiat yang tinggi. Boleh dikatakan buah betik mengandungi hampir semua zat makanan yang diperlukan bagi kesihatan tubuh kita.

Betik adalah daripada spesies Carica papaya dan berasal dari keluarga caricaceae. Buah Betik juga kaya dengan zat vitamin C. Malahan kandungan vitamin C dalam buah betik adalah lebih tinggi dari yang terdapat di dalam buah limau. Setengah biji buah betik yang sederhana saiznya dapat membekalkan kita 100% keperluan vitamin C dalam sehari,

Buah betik juga mengandungi zat vitamin A dan berbagai jenis zat vitamin B seperti Riboflavin, zat folate dan cryptoxanthin. Zat ini adalah sejenis carotene yang menghasilkan warna bagi isi buah betik. Unsur ini amat penting sekali bagi kesihatan jantung kita kerana ia dapat melindunginya daripada kerosakan.

Selain zat vitamin, buah betik juga mengandungi serat, zat protein dan enzim papain. Enzim papain adalah unsur yang amat berkesan dalam proses penghadaman makanan.

KEBAIKAN BETIK

1) Sebagai tonik tambahan

Memakan buah betik setiap hari dapat menambahkan tenaga badan dan menjadi sumber pembersih perut yang amat berkesan. Ia amat mujarab bagi menyembuhkan berbagai-bagai gangguan perut dan penghadaman makanan. Jus buah betik ranum, jika dicampur dengan susu dan madu boleh menjadi tonik yang tinggi khasiatnya bagi kanak-kanak yang sedang membesar, wanita yang sedang hamil, wanita yang menyusukan dan kepada mereka yang lemah tenaga kerana sakit.

2) Ubat bagi sembelit dan bawasir

Jika mengalami sembelit cubalah memakan betik. Ia murah lagi selamat. Betik juga penawar yang ideal bagi penyakit bawasir berdarah, Malah menurut para doktor dengan mengamalkan memakan beberapa potong buah betik selepas makan, bukan saja dapat membantu penghadaman makanan serta membekalkan berbagai-bagai vitamin, zat galian dan serat yang kita perlukan, bahkan dapat menjauhkan kita daripada cacing pita dan kerawit di dalam perut. Ini kerana betik mengandungi unsur yang disebut ‘ anthelmintic’ yang dapat membunuh kuman.

3) Mencegah terjadinya batu di dalam pundi kencing

Sebahagian doktor dan pakar pemakanan mengatakan bahawa buah betik ranum jika dicampur dengan madu asli adalah baik bagi sesiapa yang tidak lawas kencing dan menghidap berbagai-bagai masalah pada sistem kencingnya. Dengan membuang air kecil secara baik, dapat menghindarkan kita dari mendapat masalah batu pada pundi kencing kita.

Pendek kata, betik adalah tonik ideal serta murah jika kita ingin mengekalkan kesihatan jantung, hati, otak, saraf dan darah kita.

Buah Betik ataupun nama saintiknya Carica Papaya L adalah sejenis tumbuhan saka yang mempunyai batang kayu yang lembut, tegak dan biasanya tidak mempunyai cabang. Pokok betik juga mempunyai pelbagai khasiat. Betik juga sangat berkhasiat jika dimakan.

Di samping itu berikut adalah khasiat lain buah betik;
  • Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat hemoroid atau buasir dan sembelit.Makan buah betik boleh memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan sembelit.
  • Daun betik terutama pucuknya yang muda sering direbus untuk dijadikan ulam. Selain itu, air rebusan daun betik dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin.
  • Jika memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.
  • Bagi merawat masalah kulit seperti jerawat dan masalah kedutan, hancurkan buah betik tersebut. Kemudian tampalkan di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum mandi.
  • Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi.
  • Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh menyebabkan kaki terasa sakit. Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah ini ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah.

Selasa, 26 Oktober 2010

Bila Orang Minta...... Sumbangan Jantung!!!


Aku sedih bila membaca kisah seorang ibu di IJN yang merayu agar mana-mana pihak dapat mengusahakan sumbangan jantung baru buatnya

Mengikut ceritanya, lebih setahun lalu, pengguna ‘jantung mekanikal’, Chen Winnie, 23, merayu mendapatkan jantung baru tetapi tidak berhasil

kini tahap kesihatan Chen Winnie semakin kritikal

hanya tinggal kira-kira 11 bulan lagi untuknya mendapatkan penderma yang sesuai kerana ‘jantung mekanikal’ yang digunakan hanya boleh bertahan selama dua tahun

Hari ini, genap 433 hari Winnie menggunakan alat pembantu denyutan jantung (PVAD) atau jantung mekanikal itu.

Harapan Winnie, seorang ibu tunggal penantiannya akan berhasil kerana masa semakin suntuk.

Menurut Winnie, beliau tetap bersabar dan kerana kasih kepada anaknya yang kini berusia lima tahun, beliau tetap cekal untuk meneruskan hidup.

"Setiap pagi apabila bangun tidur saya mengharapkan ada berita baik daripada doktor, tetapi sehingga hari ini impian itu belum menjadi kenyataan".

"Saya tahu kita tak boleh paksa orang untuk derma jantung, namun, hakikatnya saya amat mengharapkan jantung supaya dapat membesarkan anak dengan sempurna seperti orang lain,"

katanya sambil mengesat air matanya yang tidak henti-henti mengalir pada sidang akhbar di IJN
Namun Tuhan lebih menyayangi Winnie, genap, setelah 26 bulan bertahan menantikan penderma jantung yang sesuai, Winnie, ibu muda berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia

Ibu tunggal kepada seorang anak kecil itu dilaporkan mengalami strok pada 7 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut

Bagaimanapun, strok itu telah menyebabkan kerosakan teruk kepada otaknya dan Winnie kemudian disahkan telah mati otak dan tidak dapat diselamatkan

Namun yang membuatkan aku terharu ialah, rupa-rupanya Winnie memilih untuk mendermakan organnya sebagai wasiat terakhir

Berikutan hasrat Winnie untuk menderma organ bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain, keluarganya telah bersetuju dan membenarkan paru-paru, mata, hati dan buah pinggang Winnie diambil untuk didermakan.

Akhirnya satu pasukan dari Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Hospital Kuala Lumpur yang diketuai Datin Dr. Lela Yasmin telah menjalankan ujian pengesahan kematian otak ke atasnya

Berikutan pengesahan kematian otak, pasukan yang sama juga mula menjalankan pembedahan untuk memindahkan organ-organ yang ingin didermakan Winnie

Winnie merupakan pesakit jantung ketiga yang menerima bantuan alat bantuan denyut jantung (PVAD) selepas Mohd. Fikri Nor Azmi dan Tee Hui Yi serta merupakan pengguna PVAD pertama yang meninggal dunia kerana gagal mencari penderma jantung yang sesuai

Bagi aku, Winnie telah melakukan tindakan yang cukup mulia…biarpun tiada siapa yang menderma jantung kepadanya, tetapi dia sendiri sanggup menderma organnya kepada insan lain

berapa ramai orang sangatlah di antara kita yang sanggup berbuat demikian .... setelah ... meninggal dunia

Walaupun dia bukan beragama Islam, tetapi aku tetap mendoakan yang terbaik untuknya kerana dia juga makhluk Allah seperti mana kita

Walaupun aku tidak kenal Winnie secara dekat, aku tidak tahu siapa..... suaminya, siapa...... keluarganya dan siapa...... anaknya

Tetapi pada kesempatan ini, aku ingin memberitahu mereka, aku tetap menganggap dia adalah insan berhati mulia dan mereka patut berbangga kerana pernah memiliki insan setabah dan sehebat Winnie

Buat anaknya, percayalah, ibu mu adalah insan yang patut kau sanjungi, dia mungkin tiada lagi di dunia tetapi jasanya tetap akan dikenang sampai bila-bila atas sumbangannya terhadap nasib orang lain....

Harimau mati meninggalkan belang .....
Manusia mati meninggalkan nama TETAPI
Winnie bukan hanya tinggalkan nama tetapi jasa yang tak semua orang sanggup lakukannya

Kisah Benar....

Isnin, 18 Oktober 2010

Hidup Memberi ...Derma Organ

Saya amat tersentuh apabila Sister Norsalina Osman selaku Pengurus Bahagian Pendermaan Organ IJN menghubungi saya untuk berbincang tentang hal ini. Beliau menunjukkan kepada saya gambar-gambar beliau dan pasukannya semasa membuat kempen pendermaan organ di Kuil Maha Vihara pada hari Wesak yang lalu.

Sambutan yang diterima sungguh hebat dan hari itu, pasukan Pendermaan Organ IJN menerima pendaftaran penderma organ pada jumlah yang sangat memberansangkan. 150 orang mendaftar termasuk dua orang yang melakukannya sempena hari ulang tahun kelahiran mereka.

Saya beragama Islam. Agama yang cantik, indah, dan rahmat bagi sekalian alam. Agama yang datang untuk manfaat manusia. Agama yang memberikan manusia keperluan hidup mereka agar kehidupan manusia bukan hanya pada memikirkan soal diri sendiri, tapi segalanya berjemaah. Kerana Islam agama kebersamaan.

Sumber: Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur. Statistik sehingga 30 November 2005

Tetapi di manakah silapnya hingga statistik penderma organ orang Melayu yang umumnya mewakili kaum Muslimin, terlalu kecil? Cina 64%, India 22% dan Melayu hanya 8%. Sedangkan Melayu dan Muslim juga mewakili senarai mereka yang memerlukan organ kerana mereka juga sakit dan sihat seperti orang lain

MENGAPA SAYA MENDERMA ATAU TIDAK MENDERMA?

Saya cuba mencungkil hal ini dan memulakannya dengan bertanyakan soalan itu kepada diri saya sendiri. Mengapa saya tidak menderma? Adakah kerana agama? Saya telah meluangkan masa kira-kira seminggu meneliti perbincangan Ulama pelbagai negara, mazhab, pendekatan dan pendirian. Majoritinya sampai kepada titik noktah yang sama iaitu mengharuskan pendermaan serta pemindahan organ.

Apakah hujah-hujahnya meyakinkan? Ya, sungguh jelas dan meyakinkan. Malah fatwa-fatwa itu sudah matang kerana berbelas malah berpuluh kali Ulama bersidang mengenainya dan mereka terus konsisten pada menetapkan keharusannya.

Maka penjelasan dari segi agama, selesai. Islam bukan hanya mengharuskannya malah menganggap ia sebagai suatu kebajikan yang amat besar maknanya. Lantas agama tidak sepatutnya menjadi alasan kepada orang Islam untuk tidak menderma organ.

Apabila saya menyemak statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia, nyata sekali, agama bukanlah faktor utama yang menghalang kita menderma.

Sumber: Kaji Selidik IKIM: Majalah “Kefahaman Islam” Jan 2006 Bil 61 Muka Surat 18

Halangan utamanya ialah TAKUT. 56.3% mengakuinya. Takut ini puncanya pelbagai.

PUNCA TAKUT

Ada takut yang terbit dari keadaan tidak kenal mengenal. Kita memusuhi apa yang kita tidak kenal. Kita takut sesuatu yang kita tidak mengerti. Takut seperti ini mungkin kerana kurang maklumat. Kurang pendedahan. Maka takut seperti ini boleh dirawat dengan membekalkan maklumat seperti yang sepatutnya.

Namun ketakutan ini sukar untuk diubat jika majoriti kita masih terbelenggu oleh “Aku Tidak Pedulisma”. Tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling kita, tidak peduli pada segalanya. Saya percaya faktor ini juga merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah penderma organ Melayu Muslim yang menyedihkan.

KEKURANGAN NILAI

Ada takut yang terbit kerana kekurangan nilai tertentu dalam diri. Di sinilah saya cuba menguji diri. Saya bayangkan yang di hadapan saya ada sekeping papan yang saya letakkan sebagai penghubung di antara dua meja. Dengan ketinggian 1 meter dari lantai, sanggupkah saya menyeberang dengan melintasi papan itu? Nyata sekali saya sanggup. Tiada risiko. Jika meja itu ditinggikan setinggi sebuah almari, apakah saya masih berani? Mungkin saya sedikit teragak-agak tetapi boleh mencuba jika jelas apa tujuannya. Ada upah? Barangkali…

Tetapi beranikah saya jika dua almari itu diganti dengan bangunan 3 tingkat?

Jawapan saya jelas… saya tidak berani, dan saya tidak perlu untuk mengatasi ketakutan saya kerana tiada keperluan di situ.

Bagaimana jika ada keperluan? Bagaimana kalau di tingkat 3 bangunan di seberang sana itu, anak saya sedang menjerit meminta tolong? Tingkat 1 dan dua sudah dijilat api. Satu-satunya cara untuk anak saya diselamatkan adalah dengan saya pergi mendapatkannya sendiri. Dengan melintasi papan itu. Pada kadar setinggi 3 tingkat. Sanggupkah saya? Saya sanggup. Mengapa tadi tidak sanggup, kini sanggup? Apa yang mendorong saya untuk berani? Keghairahan apa yang membara di dalam diri ini?

KUASA KASIH SAYANG

Itulah nilai kasih dan sayang. Kerana sayang saya sebagai bapa kepada anak, saya sanggup melakukannya. Jelasnya, saya perlukan nilai untuk membakar keberanian. Nilai harta tidak bermakna. Nilai kemegahan dan nama tidak berguna. Tetapi kasih saya mencetus keinginan yang membara. The burning desire…! Sesuatu yang mustahil kita lakukan, jadi tidak mustahil apabila ia dijana dengan nilai kasih sayang. Apakah 56.3% ketakutan itu berpunca dari gersang nilai? Tiada kasih sayang dan semuanya hanya ada secebis kasih saya untuk mengasihi diri sendiri sahaja?

Nilai ini tidak boleh dibuat-buat. Tidak mungkin seorang yang hidupnya self centered, mementingkan diri sendiri, tidak peduli kepada orang lain, tiba-tiba mahu menderma organ atas perasaan kasih sayang. Sama ada seseorang itu pengasih, atau sebaliknya. Perasaan kasih sayang menjadikan kita suka memberi. Menjadikan hidup ini penuh erti dengan memberi, terbit dari rasa kasih dan sayang.

“Tidaklah sempurna iman sesiapa dari kalanganmu, sehingga dia mengasihi untuk saudaranya, apa yang ia kasih untuk dirinya sendiri” (Hadith Muslim)

Kesediaan memberi yang terbit dari kasih dan sayang adalah pelengkap yang menyempurnakan iman. Sebagai seorang mukmin, saya sepatutnya mempunyai upaya untuk menyintai lebih dari sekadar zuriat dan ahli keluarga semata-mata. Bahkan sesiapa sahaja yang beriman, adalah saudara saya yang berhak saya kasihi. Rasa kasih kepada saudara dalam iman, menjadikan hidup memberi penuh bererti. Memberi itu tinggi, dan ia mendatangkan kemanisan kerana pemberian hadir dengan rasa kasih.

Masa, tenaga, fikiran, harta benda, yang selama ini diberi di jalan kasihkan sesama mukmin, dilengkapkan lagi dengan dorongan untuk menjadi penderma organ kerana ia adalah sesuatu yang saya tidak perlu bawa ke kubur, malah boleh dimanfaatkan oleh saudara saya yang masih hidup. Ia adalah wala’ saya sebagai mukmin… Nilai kasih saya juga, menekan rasa takut untuk tidak mengganggu kefahaman saya di dalam soal pendermaan organ, biar pun organ itu mungkin akan diberi kepada orang yang tidak beriman.

Biar pun secara naluri, saya mahu keutamaan diberi kepada saudara saya yang beriman, namun biarlah Allah yang mengaturnya kerana organ ini adalah keperluan sekalian hamba-hamba-Nya. Jika Allah memberi kehidupan kepada hamba-hamba-Nya tanpa memilih di antara yang beriman dan tidak beriman, siapa saya untuk bersikap sebaliknya? Malah penghayatan saya kepada Islam sebagai agama Rahmat seluruh alam, menjadikan diri saya kasih kepada mukmin, dan prihatin kepada sekalian yang lain. Tidakkah Nabi SAW sendiri bangun ketika lalu di hadapannya mayat seorang Yahudi, atas alasan kemanusiaan…?

ALLAH MENGULANGI NAMA-NYA YANG PENGASIH

Benarlah, untuk melakukan suatu yang bersifat memberi, jiwa perlu kaya dengan kasih dan sayang. Bagi memudahkan hamba-hamba-Nya berperanan memberi, itulah ar-Rahman dan ar-Rahim, nama yang paling kerap diulang-ulang di dalam al-Quran. Allah sebagai Tuhan yang Rahman dan Rahim, Maha Memberi kepada makhluk-nya.

Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi

Erti hidup di dunia pada memberi, erti hidup di Akhirat pada menerima… kurniaan Allah Rabbul Izzati. Semoga keputusan saya mendaftarkan diri sebagai penderma organ, boleh meyakinkan setiap insan yang saya temui, bahawa kemuncak tertinggi bagi sebuah hidup ini… adalah dengan mengertikannya pada MEMBERI..

BAGAIMANA SAYA MENURUNKAN TANDA TANGAN?

Saya telah berdaftar sebagai penderma organ dalaman sahaja. Ada pun kornea mata dan kulit, saya bimbang keluarga tidak bersedia dan mengalami trauma, walaupun saya tahu proses pemindahan organ dan tisu dilakukan dengan penuh penghormatan dan jenazah tidak akan dicacatkan sewenang-wenangnya. Anggota dalaman tidak mengapa. Setakat kesan jahitan tubuh, isteri saya sendiri adalah seorang doktor yang sudah melihatnya sebagai pemandangan biasa. Tetapi saya sudah berpesan kepada isteri. Tentang soal kornea mata dan anggota luar, biarlah beliau yang memutuskannya dari segi kesanggupan. Pada saya, selepas bercerai tubuh dan nyawa, segala-galanya tidak berguna lagi.

Teringat saya kepada kata al-Quran bahawa di Mahsyar, ada ibu yang sanggup korbankan anaknya sendiri, jika boleh digunakan untuk menyelamatkan diri. Memikirkan ayat itu sudah cukup pedih buat saya ketika ‘melihat’ betapa terdesaknya kita di Akhirat nanti. Jika menderma organ boleh menambah keselamatan saya di Akhirat, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya. Selepas mati, apalah sangat nilai yang ada pada buah pinggang, jantung, hati dan tulang, berbanding kesanggupan ibu mengorbankan anak sendiri, demi keselamatan nafsi-nafsi di Akhirat nanti.

Saya seru dari lubuk hati’ daftarkanlah diri sebagai penderma. Saya pun tidak tahu selepas mendaftar ni, adakah nanti fizikal saya sesuai dan boleh didermakan. Saya mungkin mati kemalangan, saya mungkin mengalami kerosakan jantung, hati, buah pinggang dan lain-lain. Tetapi dengan mendaftar sebagai penderma’ Insya ALlah dengan niat yang betul, ganjaran di Sana sudah tersedia.. Ayuh! Wahai insan yang kurang bekal, tambahkan amal banyakkan kebajikan. Sudikah anda bersama?

"Erti Hidup Pada Memberi"

Dermalah Organ...... Demi Sebuah Kehidupan

Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan. Apatah lagi untuk mereka yang kehilangan orang yang tersayang.Ia juga merupakan perkara yang rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit.

Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila beliau meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah. Ia membangkitkan beberapa kemusykilan bagi keluarga simati. Untuk meringankan beban mental keluarga kita semasa kematian, haruslah kita membuat pengakuan persetujuan untuk menderma organ dan tisu semasa hayat kita.

Dengan mendaftarkan diri kepada Daftar Penderma Organ Nasional, anda akan membenarkan organ dan tisu anda digunakan bagi tujuan transplan, selepas anda meninggal dunia. Ini akan mengubahkan kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka dari maut.

Kita sedar bahawa isu pendermaan organ dan tisu adalah suatu isu yang menimbulkan banyak persoalan. Oleh itu, berikut adalah penjelasan kepada beberapa persoalan yang sentiasa ditimbulkan.

Siapakah Yang Layak Menjadi Penderma ?

Sesiapapun, sama ada tua ataupun muda boleh mendaftar sebagai penderma organ dan tisu. Walaubagaimanapun mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibubapa atau penjaga terlebih dahulu.

Apakah Itu Pendermaan Organ?

Ia adalah proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk transplan selepas ianya meninggal dunia.

Transplantasi (Permindahan Organ) adalah suatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan organ atau tisu yang berfungsi dengan lebih memuaskan daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, maka kehidupan penerima organ atau tisu itu akan menjadi lebih selesa dan sempurna serta nyawanya akan terselamat. Pendermaan organ dan tisu adalah satu amalan kemanusian yang mulia.

Apakah Organ dan Tisu Yang Boleh Didermakan?


Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggan, jantung, hati(heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa orang pesakit.

Bilakah Organ dan Tisu Sipenderma itu Diperolehi?

Proses perolehan organ dan tisu daripada tubuh seseorang penderma itu hanya akan dilakukan apabila kematian telah disahkan oleh dua orang doktor dengan pengesahan kematian seseorang penderma itu adalah bebas dan tiada kaitan dengan pemindahan organ dan tisu.

Apakah Perbezaan Rawatan Jika Diketahui Anda adalah seseorang Penderma?

Tidak! Doktor -Doktor yang merawat anda akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu akan dibincangkan dengan waris anda hanya selepas kematian telah disahkan

Adakah terdapat Bantahan Dari Sudut Agama?

Tiada! Kebayakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh mengiktiraf pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia

Bagaimana Organ Pendermaan itu dipindahkan?

Proses pemindahan organ dan tisu membabitkan suatu pembedahan yang bersih dan sucihama. Pembedahan ini dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu seseorang penderma ini tidak akan menjelaskan rupa dan bentuk tubuh badannya.

Selepas organ dan tisu diperolehi luka pembedahan itu akan dijahitkan dengan sempurna dan jenazah sipenderma ini tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal. Segala proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat dan tertib seperti mana pembedahan-pembedahan biasa

Bagaimana Jika Anda Berubah Fikiran Menderma?

Pendermaan organ adalah suatu niat yang tulus ikhlas dan anda berhak untuk membatalkan hasrat ini pada bila-bila masa. Tiada sesiapapun yang dipaksa untuk menderma organ dan menukar fikiran untuk tidak menderma organ dan tisu. Anda hanya perlu memberitahu keluarga anda mengenainya dan memulangkan kad penderma organ anda kepada kami.

Adakah proses pendermaan Organ akan melambatkan urusan pengkebumian Jenazah?

Tidak! Urusan pengkebumian boleh dijalankan seperti biasa. Selepas organ dan tisu diperolehi dari tubuh penderma maka jenazah akan dibersihkan, dikhafankan dan dipulangkan kapada waris penderma secapat mungkin. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan adat pengkebumian seperti upacara penghormatan kepada jenazah.

Bagaimanakah Anda Berhajat Untuk Manjadi Seorang Penderma Organ?


Anda perlu mengisi borang akaun penderma dan kad penderma. Borang yang telah dilengkapkan perlu dihantar kepada Pusat Sumber Transplan Nasional, sementara kad penderma anda hendaklah disimpan dalam dompet dan dibawa bersama anda pada setiap masa.

Anda Dinasihatkan untuk memaklumkan hasrat anda untuk menjadi seorang penderma organ dan tisu Kepada Keluarga Anda?

Ini akan memudahkan serta melicinkan proses mendapatkan keizinan perolehan organ dan tisu selepas kematian anda kelak.

Mati Otak dan Pendermaan Organ

Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setalah mendapat kebenaran ahli keluarga pesekit yang mengalami mati otak tersebut.

Apakah yang dikatakan MATI OTAK?

Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyababkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu penghidupan seperti pernafasan dan denyutan janting) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan

Isnin, 4 Oktober 2010

Fungsi Vitamin Dalam Badan

Vitamin adalah salah satu zat dari ribuan lainnya dimana keberadaannya sangat penting bagi tubuh manusia dan haiwan, setiap vitamin yang terkandung dalam makanan mempunyai fungsinya masing-masing baik untuk menjaga kesegaran tubuh ataupun untuk menghilangkan rasa penat agar tetap bersemangat dalam bekerja

Vitamin A
Kepentingan ia juga dikenali sebagai Retinol. Ia penting untuk :
  • Tumbesaran kanak-kanak yang sempurna,
  • Penglihatan yang baik (mencegah dan kadang-kala memulihkan rabun malam)
  • untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
  • Kulit yang sihat
  • Lapisan selaput mukosa didalam tubuh.

Kekurangan Vitamin A boleh menyebabkan :
  • Penurunan daya tahan kepada jangkitan
  • Kulit kasar, kering dan berjerawat
  • Masalah penghadaman
  • Batu karang (ginjal)
  • Rabun malam
  • Penyakit mata, termasuk xerophthalamia, dimana ia boleh menyebabkan buta.
Sumber Vitamin A yang baik adalah
  • Hati, telur
  • Marjerin
  • Susu penuh krim dan susu rendah lemak
  • Beta Carotene dari makanan (terdapat dengan banyaknya di dalam labu, lobak,aprikot, mangga, betik dan buah dan sayur yang berwarna kuning/oren dan merah serta dalam sayuran daun hijau seperti bayam, sawi, lobak putih dan ) yang akan ditukar kepada Vitamin A oleh tubuh kita.

Keracunan
  • Vitamin A larut lemak, dan ianya disimpan dalam badan sekiranya supplemen berlebihan diambil secara berlebihan
  • Dalam kes yang teruk, kemungkinan berlaku rabun penglihatan, tekanan tinggi dalam otak, dan keguguran rambut
Vitamin C

KepentinganVitamin C, juga dikenali sebagai asid askorbik.
  • Ianya penting untuk pembentukan dan pengekalan kolagen, iaitu sejenis protein yang mengukuhkan kedudukan sel badan.
  • Ia sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh darah, dan penyembuhan luka.
  • Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisma beberapa jenis asidamino dan hormon.
  • Ia juga memiliki kesan antioksida, dengan membantu badan mengeluarkankumuhan karcinogenik hasil dari proses metabolisma yang digelar sebagairadikal beb
Kekurangan Vitamin C boleh menyebabkan
  • Skurvi
  • Kurang daya tahanan
  • Pendarahan gusi.

Sumber - Sumber Vitamin C yang baik adalah
  • Jambu batu
  • Betik
  • Belimbin
  • Mangga
  • Buah Sitrus (Limau)
  • Sayuran berdaun hijau
Keracunan
  • Cirit birit
  • Ganguan gastro usus
  • Pembentukan batu karang (ginjal)
  • Penambahan asid urik
Vitamin B12

Kepentingan Vitamin B12 atau Cobalamin, dalam kombinasi dengan Folacin (Vitamin B12 juga dikenali sebagai Asid Folik)
  • Ia digunakan dalam pembentukan sel darah merah
  • Ia juga membantu dan mengekalkan pelindung selaput saraf.
Simtom kekurangan Vitamin B12 ialah
  • Pernicious Anemia
  • Lumpuh otot dan urat saraf.
Sumber
  • Daging
  • Ikan
  • Ayam/itik
  • Prodek tenusu
  • Telur
  • Hati
Zat Besi
Kepentingan Zat besi adalah garam galian yang diperlikan dengan sedikit tetapi sangat penting untuk kebaikan kesihatan dan kehidupan. Kebanyakan daripada zat besi dalam tubuh manusia terdapat di sel darah merah-hemoglobin dan kepentingannya adalah
  • Memudahkan pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah
  • Pembentukan myoglobin dalam otot
  • Pembawa oksigen
  • Terlibat dalam penggunaan tenaga .
Secara amnya kekurangan zat besi boleh menyebabkan
  • Anemia
  • Simptom ‘Attention Deficit Hyperactivity Disorder’ dikalangan kanak-kanak
  • Dikalangan orang dewasa kerap kali menyebabkan keletihan
Sumber
  • Hati
  • Daging
  • Ayam/itik
  • Ikan
  • Cengkerang
  • Telur
  • Kekacang
  • Kacang kering
  • Buah prun kering
  • Jus buah prun
  • Bijiran – yang ditambah dengan zat besi
  • Gandum penuh
  • Roti yang diperkaya dengan galian dan bayam
Keracunan
  • Boleh merosakkan hati dan pancreas,
  • Kemungkinan peningkatan risiko untuk barah dan penyakit jantung

Jumaat, 1 Oktober 2010

Perkembangan Bayi Dalam Kandungan 0 - 12 Minggu


Telur akan mula terbentuk sebaik sahaja disenyawakan. Perkembangan bayi dalam kandungan memberi kesan kepada perubahan bentuk badan anda dari masa ke semasa.

Minggu pertama:
Sebaik saja telur disenyawakan, anda tidak lagi mengalami datang bulan/haid. Hormon-hormon dalam badan akan bersiap sedia untuk melepaskan sel telur tersebut.

Minggu kedua:
Dinding rahim/uterus akan mula menebal dan telah bersedia untuk proses ovulasi.

Minggu ketiga:
Minggu ini adalah proses pelepasan telur. Telur dan sperma yang telah disenyawakan di tiub falopio akan mula terbentuk. Di sinilah kehamilan anda bermula. Proses ini mengambil masa 4 hari dan zigot kemudiannya terbentuk.

Minggu keempat:
Zigot yang telah terbentuk akan mula mencari tempat (dinding rahim) untuk membesar. Ada sesetengah wanita akan mengalami pendarahan pada minggu ini. Jangan risau, pendarahan itu adalah kerana proses zigot menempel di dinding rahim anda. Jika pendarahan terlalu banyak, sila berjumpa doktor anda.

Minggu kelima:
Ukuran bayi anda sekarang seperti sebiji buah epal & pada minggu ini ia disebut sebagai embrio. Bayi anda sudah mempunyai degup jantung sendiri, plasenta dan tali pusat sudah berkerja sepenuhnya. Sel-sel otak & sistem saraf juga mula terbentuk.

Minggu keenam:
Embrio akan kelihatan seperti berudu. Pada minggu ini anda dapat melihat kepala & badan mula terbentuk. Begitu juga dengan hati, pankreas, paru-paru, kelenjar tiroid dan jantung.

Minggu ketujuh:
Jantung sudah terbentuk lengkap. Saraf dan otot bekerja bersamaan untuk pertama kalinya. Bayi mempunyai reflek dan bergerak spontan tetapi anda tidak dapat merasakannya lagi. Pada pengakhir minggu ini otak pula akan terbentuk lengkap.

Minggu kelapan:
Panjang embrio sekarang adalah sekitar 25-30 mm. Lengan dan kaki sudah terbagi menjadi komponen paha, kaki, tangan, lengan & bahu. Organ reproduksinya juga mulai terbentuk tulang-tulang. Bahagian telinga luar sudah terbentuk sempurna, mata membentuk pigmen. Jantung sudah berfungsi dengan sempurna.

Minggu kesembilan:
Pergerakan pertama fetus dapat dikesan dengan USG. Pada minggu ini perut dan rongga dada sudah terpisah dan otot mata dan bibir atas terbentuk.

Minggu ke-10:
Tulang terbentuk. Diafragma memisahkan jantung dan paru-paru dari perut. Otot leher terbentuk. Otak berkembang dengan cepat, sehingga saiz kepala lebih besar dari tubuh.

Minggu ke-11:
Organ seks luar sudah terbentuk, begitu juga dengan rambut dan gigi. Bayi sudah dapat menelan cairan amnion dan mengeluarkan kembali(kencing).

Minggu ke-12:
Ukuran fetus anda sekarang sekitar 8 cm. Semua organnya telah terbentuk dengan sempurna. Otot-ototnya akan mula memberikan tindak balas.

Akhir trimester pertama, organ-organ tubuh bayi sudah terbentuk. Rasa mual dan lelah pada anda sudah hilang. (Namun masih ada sebahagian wanita hamil akan mengalami rasa mual hingga ke bulan2 berikutnya.)

Kisah wanita dan Rasulullah

Suatu hari ada wanita muslimah datang ke Pasar Bani Qainuqa’ untuk suatu keperluan yang ia perlukan. Ia menghampiri salah satu pedagang Yahu...