Jumaat, 17 Jun 2011

Perintah Tuhan Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa

ISLAM mendidik umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak kita dilahirkan begitu besar dan tidak ternilai.

Pengorbanan ibu bapa dalam melayari bahtera rumah tangga amatlah besar. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik anak sejak kecil sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan kepentingan diri dan mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak.

Sehubungan itu, anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembahkan melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada usia tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar), sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil.” (Surah al-Israk ayat 23-24).

FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah SAW: Apakah amalan paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada baginda, semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda. (Riwayat Muslim)

Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa.

Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).

Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.”

Peristiwa di atas dikuatkan lagi dengan wasiat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (daripada awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah), kepada Akulah tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (Allah) dengan sesuatu yang engkau – dengan akal fikiranmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaul dengan mereka di dunia dengan cara baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang salih). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah Luqman ayat 14-15).

Inilah cara pergaulan dengan ibu bapa dianjurkan Islam. Hormati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi suruhan mereka itu tidak melanggari syariat Islam.

Mengingkari perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa termasuk dalam kategori dosa besar. Jika menyebut ungkapan ‘uuh’ atau ‘aah’ dikira sebagai menyakiti dan menderhaka, apatah lagi jika ada antara anak mencerca, memaki dan memukul ibu bapa mereka.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-'As r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya?

Rasulullah SAW menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menganggap menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar selepas syirik. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra katanya: Nabi SAW pernah menceritakan tentang dosa besar. Baginda bersabda yang bermaksud: “Menyekutukan Allah, menderhaka kepada ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata palsu.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci. Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya. Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.

Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga adalah pemangkin utama ke arah mewujudkan masyarakat penyayang. Seterusnya masyarakat penyayang mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

Sumber; www.ipislam.edu.my

Alangkah Beruntungnya Menjadi Seorang Wanita


Darjat seorang wanita disisi Islam adalah sangat tinggi dan mulia. Wanita adalah golongan yang perlu dihormati, dijaga maruahnya, disayangi dan dikasihi . Seorang ibu yang telah berkorban seluruh jiwa dan raganya untuk melahirkan dan membesarkan anaknya adalah merupakan seorang wanita yang dipandang mulia oleh Allah S.W.T. Allah S..W.T akan mengurniakan pahala dan kebaikan yang berlipat kali ganda untuk para wanita yang sanggup berkorban di jalan Allah.

Berikut merupakan keistimewaan wanita menurut Islam yang telah disebutkan di dalam beberapa hadith sahih dan difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Qur'an. Ini menunjukkan betapa Islam begitu menghormati dan menghargai para wanita yang solehah. Berbahagialah engkau wahai bidadari penghuni syurga !

HADIS NABI MENGENAI WANITA YANG SOLEH

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang): Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?”
Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”

Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”
Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih,berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani)

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

Oleh itu wahai para wanita muslimah yang dihormati dan disegani, bangkitlah dan niatkanlah setiap amalanmu adalah untuk mendapat keberkatan daripada Allah Yang Maha Esa. Semoga anda akan turut menjadi salah seorang wanita pilihan yang diberikan ganjaran syurga yang tiada tolok bandingnya diakhirat kelak. Amin.

Rabu, 15 Jun 2011

++Puisi Ketika Cinta Bertasbih++


Cinta adalah kekuatan

yang mampu mengubah duri jadi mawar

Mengubah cuka jadi anggur

Mengubah sedih jadi riang

Mengubah amarah jadi ramah

Mengubah musibah jadi muhibbah

itulah cinta


Sekalipun cinta telah kuuraikan

dan kujelaskan panjang lebar

namun jika cinta kudatangi

aku jadi malu pada keteranganku sendiri

meskipun lidahku telah mampu menguraikan

namun tanpa lidah

cinta ternyata lebih terang

sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya

kata-kata pecah berkeping - keping

begitu sampai kepada cinta

dalam menguraikan cinta

akal terbaring tak berdaya

bagaikan keldai yang berbaring dalam lumpur

cinta sendirilah yang menguraikan

cinta dan percintaan

Sumber; Filem Ketika Cinta Bertasbih

Isnin, 16 Mei 2011

Punca dan Tanda-Tanda Barah Payu Dara


KETULAN pada payu dara memang kerap berlaku. Setiap wanita yang mempunyai ketulan dalam payu daranya tidak sepatutnya membiarkannya tanpa mendapat nasihat, pemeriksaan dan ujian daripada doktor. Langkah ini penting kerana ketulan itu mungkin barah, walaupun kebanyakan ketulan dalam payu dara bukan daripada jenis barah. Kadar barah payu dara di negara barat seperti Amerika Syarikat adalah satu dalam 10 orang wanita. Di Malaysia kadar barah payu dara juga meningkat mencapai kadar negara maju.

Tanda-tanda barah payu dara adalah seperti berikut:

1. Ketulan dalam payu dara. Tanda ini adalah yang paling lazim didapati di kalangan wanita berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa mandi ataupun semasa pemeriksaan sendiri payu dara.

Kadang-kadang ketulan disedari oleh orang lain seperti suami atau doktor yang memeriksa payu dara. Lazimnya ketulan terdapat pada bahagian atas dan luar payu dara (upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.

2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.

3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.

4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau d'orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah padanya.

Semua wanita digalakkan untuk mengenali bentuk dan saiz payu daranya supaya perubahan yang berlaku dapat dikesan dengan cepat. Jika terdapat perubahan pada payu dara seperti yang telah disebutkan, wanita dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Siapakah yang berisiko tinggi untuk mendapat barah payu dara?

1. Wanita mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi daripada lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit barah payu dara.

2. Sejarah keluarga - Risiko barah payu dara bagi seseorang wanita berganda dua tiga kali jika terdapat sejarah penyakit payu dara pada keluarga terdekat (first degree relatives) seperti ibu, kakak, adik atau emak saudara.

3. Sejarah barah - apabila seseorang wanita telah menghidap barah payu dara, risiko untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian yang menyatakan bahawa ketulan atau penyakit payu dara yang bukan daripada jenis barah juga boleh meninggikan risiko untuk barah payu dara.

Kajian juga menunjukkan bahawa risiko untuk barah payu dara juga meninggi jika terdapat sejarah barah ovari, melanomas (barah kulit), usus dan rahim.

4. Sejarah haid dan pembiakan - wanita yang mempunyai masa yang lama dalam era reproduktif mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah payu dara. Ini bermakna wanita itu didatangi haid yang pertama pada umur yang agak awal (9 tahun) dan mencapai alam putus haid pada umur yang agak lewat (55 tahun ke atas). Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.

5. Pemakanan-pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko barah ini. Oleh itu wanita digalakkan untuk mengambil banyak sayur-sayuran dan mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan.

6. Pengambilan hormon - kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.

7. Obesiti - wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah ini.

Berat badan unggul seseorang bergantung kepada ketinggian dan juga rangka badannya. Untuk mengetahui berat badan unggul, seseorang perlulah mengetahui Body mass index (BMI)nya. Formula untuk mengira BMI adalah seperti berikut:

Berat badan (kg) bahagi dengan tinggi (metres) kuasa dua. Julat BMI yang normal untuk wanita ialah 20-24. Sebelum puan mengambil langkah-langkah untuk menguruskan berat badan, puan perlu mengira BMI puan. Jika BMI berada dalam lingkungan yang normal, puan tidak perlu mengurangi berat puan.

Langkah untuk menguruskan badan memerlukan nasihat doktor supaya langkah yang diambil tidak membahayakan kesihatan tubuh badan secara am. Cara yang paling baik untuk mengurangkan berat badan ialah memastikan tenaga yang diperoleh melalui makanan adalah seimbang dengan penggunaannya.

Jika terdapat berlebihan input, penggunaan tenaga perlulah ditingkatkan seperti senaman untuk membakar lemak lebihan atau pemakanan dikawal supaya tiada lebihan tenaga disimpan sebagai lemak.

Cross green.png
PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.

Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

11 JENIS TANDA- TANDA AWAL KANSER


(1) Kanser pangkal rahim
sebarang lelehan atau pendarahan yg luarbiasa, sakit selepas bersenggama dan turun berat badan


(2) Kanser payudara
bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada


(3) Kanser usus besar
perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air


(4) Kanser paru-paru
batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas termengah-mengah,sakit dada dan hilang berat badan


(5) Kanser perut
hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yg tidak teratur,cepat kenyang walaupun makan sedikit


(6) Kanser limpa
sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun berat badan,kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak


(7) Kanser ovari
haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi lebih mendalam


(8) Kanser otak
sakit kepala,muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening/pitam, pelupa, perubahan personaliti


(9) Kanser prostat
sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan


(10) Kanser darah (leukimia)
letih,pucat, mudah lebam dan mudah mendapat efeksi


(11) Kanser tekak
suara garau/serak, ada ketumbuhan di tekak,sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher

10 PENYEBAB UTAMA KANSER
(1) Makanan
(2) Tembakau
(3) Alkohol
(4) Radiasi
(5) Sinaran cahaya matahari
(6) Pekerjaan
(7) Pengambilan ubat
(8) Pencemaran air dan udara
(9) Perokok yang tidak aktif
(10) Keturunan

TEH DAN KANSER
Teh meningkatkan aktiviti antioksidan di dalam darah, membantu mengelakkan sakit jantung dan kanser. Di nagara Jepun dan China, mereka mempercayai bahawa meminum teh bersama hidangan dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Teh juga berupaya menyerang bakteria yang boleh menyebabkan penyakit gusi selain memperkuatkannya.

Teh juga mempergiatkan enzim sistem "detoxification" di dalam limpa, membantu menyingkirkan bahan-bahan kimia yang tidak dikehendaki oleh tubuh serta membantu melindungi arteri. Ia juga berupaya untuk menghalang darah beku dan juga mengurangkan risiko serangan stroke.

DIET UNTUK MENCEGAH BENJOLAN PADA PAYUDARA
(1) Hindari makanan berlemak dan bergoreng
(2) Hindari makanan ringan yang masam
(3) Kurangkan minum kopi dan minuman bergas
(4) Berhati-hati semasa mengambil ubat selsema ataupun aspirin
(5) Ambil makanan mengandungi vitamin E,B-6, dan evening primrose oil

Tip Untuk Memulakan Penyusuan Susu Ibu



Memberi susu badan adalah salah satu hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada anak anda.

Kebaikannya tidak terkira. Untuk memastikan anda dapat bermula dengan baik, cuba guna tip-tip ini untuk memudahkan penyusuan anda bermula.

1)Cuba menyusu sebaik sahaja bayi dilahirkan didalam bilik bersalin.

2)Bayi yang berusia beberapa minit selalunya dapat mencari dimana payudara ibu berada. Proses ini mungkin memakan masa, jadi bersabar dan cuba sedaya upaya bersama dengan bayi sepanjang masa.

3)Kurangkan pelawat untuk memastikan masa anda bersama bayi tidak terganggu.

4)Pastikan anda dan bayi tidur dan bangun dalam masa yang sama. Jangan guna nipple artificial· Menyusu ‘on demand’.

5)Jangan terlalu mengikut jadual. Menyusu sebanyak mana yang bayi mahu. Selalunya berakhir 10 hingga 40 min setiap kali penyusuan.

6)Jangan cuba memberi susu apabila bayi menangis dengan kuat. Dodoikan dulu dan apabila tangisan sudah reda, barulah memberikan susu.

7)Pastikan anda selesa semasa menyusu. Letakkan bantal untuk menyokong belakang dan kepala.Pastikan kepala bayi berhadapan dengan buah dada supaya dia tidak perlu berpusing.

8)Mulut dan hidung sepatutnya menghadap puting anda· Sokong buah dada supaya ia tidak menekan dagu bayi.

9)Letakkan bayi ke arah buah dada anda dan galakkan bayi untuk membuka mulutnya. Sokong belakangnya bukan kepalanya. Hidung bayi sepatutnya menyentuh buah dada anda.

10)Sekiranya anda merasa sakit, dengan lembut pisahkan mulut bayi anda dari puting dan cuba lagi. Pastikan belakang anda selesa. Jangan terlalu membongkok ke arah bayi kerana ia boleh memberikan sakit belakang.

sumber;http://portal.alamhamil.com

10 Tanda Anda Hamil


Sekiranya anda sangat memahami tubuh anda, anda mungkin mula terasa sesuatu yang tidak kena pada badan anda. Kebanyakan wanita tidak mengesaki diri mereka mengandung sehingga janin yang sedang terbentuk mula merapatkan dirinya kedinding rahim. Segelintir pula masih tidak merasa apa-apa simptom sehinggalah beberapa minggu selepasnya atau setelah mereka tidak mengalami haid pada hari yang sepatutnya.

Dibawah terdapat beberapa tanda awal kehamilan. Anda mungkin mengalami sebahagian daripadanya atau tiada langsung!

1. Rasa lapar yang berpanjangan

Juga terjadi pada orang yang tidak hamil tetapi lebih kerap terjadi pada awal kehamilan. Jangan bergantung sepenuhnya kepada tanda ini tetapi sekiranya ia berlaku disamping tanda-tanda kehamilan yang lain, bersiap-sedialah untuk membilang hari anda.

2. Perubahan pada warna di sekliling payudara

Sekiranya kulit disekitar puting anda menjadi kehitaman, kemungkinan anda sudah pun beberapa minggu mengandung. Walaubagaimanpun, ia juga terjadi disebabkan oleh ketidak seimbangan hormon tidak berkaitan dengan kehamilan atau disebabkan kandungan yang terdahulu.

3. Kerap membuang air kecil

Sekiranya janin sudah mula terbentuk dan rahim yang semakin membesar mula menekan pundi kencing anda, anda akan mersa kerap untuk buang air.

4. Merasa tidak bermaya

Rasa seperti tiada tenaga sepanjang masa? Hormon yang dikeluarkan di masa awal kehamilan boleh membuatkan anda berasa letih dengan cepat. Rasa letih dan tidak bermaya adalah sesuatu yang kerap terjadi di awal kehamilan.

5. Sakit dan tegang pada buah dada

Sekiranya anda mengandung, buah dada anda akan menjadi semakin sakit pada sentuhan, agak serupa dengan ketidak selesaan yang terjadi pada buah dada anda sebelum haid. Apabila badan sudah menjadi biasa dengan kejadian hormon ini, kesakitan akibat ketegangan akan menjadi semakin berkurangan.

6. Pendarahan implantasi dan senak pada ari-ari

Lebih kurang 8 hari selepas ovulasi, anda mungkin akan mengalami sedikit pendarahan dari faraj dan senak pada ari-ari akibat dari implantasi. Anda juga mungkin mengalami keadaan yang sama semasa pada sekitar masa anda sepatutnya datang haid hari pertama.

7. Rasa loya dan muntah

Sekiranya anda bernasib baik, morning sickness ini tidak akan menyerang, kecuali selepas beberapa minggu hamil. Tetapi segelintir wanita akan mula merasa mual dan rasa luar biasa pada lidah walaupun cuma selepas beberapa hari mengandng.

8. Suhu asas badan tinggi berpanjangan

Sekiranya anda memang sedang membuat pemerhatian dengan mengambil suhu badan asas anda setiap pagi, anda akan mendapati paras susu badan secara konsisten melebihi paras asas sejak dari hari pertama ia naik.

9. Missed period

Sekiranya haid anda teratur sebelumnya dan sekarang ia sudah lewat beberapa hari. Inilah masanya untuk anda menjalani ujian air kencing untuk kehamilan.

Dan akhirnya..

10. Ujian air kencing yang positif

Sekiranya anda sudah beberapa hari ketinggalan haid dan terdapat 2 jaluran pada ujian air kencing, kemungkinan besar anda sudah mengandung. Jumpalah doktor untuk kepastian dan...

...Tahniah!

Cross green.png
PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.

Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

sumber;http://portal.alamhamil.com

Kisah wanita dan Rasulullah

Suatu hari ada wanita muslimah datang ke Pasar Bani Qainuqa’ untuk suatu keperluan yang ia perlukan. Ia menghampiri salah satu pedagang Yahu...