Isnin, 16 Mei 2011

Punca dan Tanda-Tanda Barah Payu Dara


KETULAN pada payu dara memang kerap berlaku. Setiap wanita yang mempunyai ketulan dalam payu daranya tidak sepatutnya membiarkannya tanpa mendapat nasihat, pemeriksaan dan ujian daripada doktor. Langkah ini penting kerana ketulan itu mungkin barah, walaupun kebanyakan ketulan dalam payu dara bukan daripada jenis barah. Kadar barah payu dara di negara barat seperti Amerika Syarikat adalah satu dalam 10 orang wanita. Di Malaysia kadar barah payu dara juga meningkat mencapai kadar negara maju.

Tanda-tanda barah payu dara adalah seperti berikut:

1. Ketulan dalam payu dara. Tanda ini adalah yang paling lazim didapati di kalangan wanita berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa mandi ataupun semasa pemeriksaan sendiri payu dara.

Kadang-kadang ketulan disedari oleh orang lain seperti suami atau doktor yang memeriksa payu dara. Lazimnya ketulan terdapat pada bahagian atas dan luar payu dara (upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.

2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.

3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.

4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau d'orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah padanya.

Semua wanita digalakkan untuk mengenali bentuk dan saiz payu daranya supaya perubahan yang berlaku dapat dikesan dengan cepat. Jika terdapat perubahan pada payu dara seperti yang telah disebutkan, wanita dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Siapakah yang berisiko tinggi untuk mendapat barah payu dara?

1. Wanita mempunyai risiko 100 kali ganda lebih tinggi daripada lelaki. Risiko ini menjadi lebih tinggi pada era sebelum putus haid. Orang lelaki juga boleh mendapat penyakit barah payu dara.

2. Sejarah keluarga - Risiko barah payu dara bagi seseorang wanita berganda dua tiga kali jika terdapat sejarah penyakit payu dara pada keluarga terdekat (first degree relatives) seperti ibu, kakak, adik atau emak saudara.

3. Sejarah barah - apabila seseorang wanita telah menghidap barah payu dara, risiko untuknya berulang lagi meninggi empat kali ganda. Ada kajian yang menyatakan bahawa ketulan atau penyakit payu dara yang bukan daripada jenis barah juga boleh meninggikan risiko untuk barah payu dara.

Kajian juga menunjukkan bahawa risiko untuk barah payu dara juga meninggi jika terdapat sejarah barah ovari, melanomas (barah kulit), usus dan rahim.

4. Sejarah haid dan pembiakan - wanita yang mempunyai masa yang lama dalam era reproduktif mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah payu dara. Ini bermakna wanita itu didatangi haid yang pertama pada umur yang agak awal (9 tahun) dan mencapai alam putus haid pada umur yang agak lewat (55 tahun ke atas). Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.

5. Pemakanan-pengambilan lemak secara berlebihan meninggikan risiko barah ini. Oleh itu wanita digalakkan untuk mengambil banyak sayur-sayuran dan mengurangkan kadar pengambilan lemak dalam makanan.

6. Pengambilan hormon - kajian telah menunjukkan bahawa wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.

7. Obesiti - wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk barah ini.

Berat badan unggul seseorang bergantung kepada ketinggian dan juga rangka badannya. Untuk mengetahui berat badan unggul, seseorang perlulah mengetahui Body mass index (BMI)nya. Formula untuk mengira BMI adalah seperti berikut:

Berat badan (kg) bahagi dengan tinggi (metres) kuasa dua. Julat BMI yang normal untuk wanita ialah 20-24. Sebelum puan mengambil langkah-langkah untuk menguruskan berat badan, puan perlu mengira BMI puan. Jika BMI berada dalam lingkungan yang normal, puan tidak perlu mengurangi berat puan.

Langkah untuk menguruskan badan memerlukan nasihat doktor supaya langkah yang diambil tidak membahayakan kesihatan tubuh badan secara am. Cara yang paling baik untuk mengurangkan berat badan ialah memastikan tenaga yang diperoleh melalui makanan adalah seimbang dengan penggunaannya.

Jika terdapat berlebihan input, penggunaan tenaga perlulah ditingkatkan seperti senaman untuk membakar lemak lebihan atau pemakanan dikawal supaya tiada lebihan tenaga disimpan sebagai lemak.

Cross green.png
PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.

Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

11 JENIS TANDA- TANDA AWAL KANSER


(1) Kanser pangkal rahim
sebarang lelehan atau pendarahan yg luarbiasa, sakit selepas bersenggama dan turun berat badan


(2) Kanser payudara
bengkak atau gumpalan di buah dada, keluar cairan berdarah dari puting, pembesaran kelenjar di ketiak, kedutan pada kulit di buah dada


(3) Kanser usus besar
perubahan tabiat membuang air, hilang berat badan, sakit dalam perut dan usus, berlaku pendarahan semasa membuang air


(4) Kanser paru-paru
batuk kuat berterusan, batuk berdarah, nafas termengah-mengah,sakit dada dan hilang berat badan


(5) Kanser perut
hilang berat badan, muntah berdarah, sistem pencernaan yg tidak teratur,cepat kenyang walaupun makan sedikit


(6) Kanser limpa
sakit di bahagian abdomen, hilang selera makan, turun berat badan,kulit dan mata menjadi kuning dan bahagian abdomen membengkak


(7) Kanser ovari
haid tidak teratur, tumbuhan keras di bahagian abdomen, sakit semasa bersenggama, ketumbuhan bulu rambut yg melampau, suara menjadi lebih mendalam


(8) Kanser otak
sakit kepala,muntah-muntah, gangguan penglihatan, lemah atau lumpuh, pening/pitam, pelupa, perubahan personaliti


(9) Kanser prostat
sukar dan sakit semasa kencing yang berpanjangan


(10) Kanser darah (leukimia)
letih,pucat, mudah lebam dan mudah mendapat efeksi


(11) Kanser tekak
suara garau/serak, ada ketumbuhan di tekak,sukar menelan dan kelenjar membengkak di leher

10 PENYEBAB UTAMA KANSER
(1) Makanan
(2) Tembakau
(3) Alkohol
(4) Radiasi
(5) Sinaran cahaya matahari
(6) Pekerjaan
(7) Pengambilan ubat
(8) Pencemaran air dan udara
(9) Perokok yang tidak aktif
(10) Keturunan

TEH DAN KANSER
Teh meningkatkan aktiviti antioksidan di dalam darah, membantu mengelakkan sakit jantung dan kanser. Di nagara Jepun dan China, mereka mempercayai bahawa meminum teh bersama hidangan dapat mengurangkan risiko penyakit kanser. Teh juga berupaya menyerang bakteria yang boleh menyebabkan penyakit gusi selain memperkuatkannya.

Teh juga mempergiatkan enzim sistem "detoxification" di dalam limpa, membantu menyingkirkan bahan-bahan kimia yang tidak dikehendaki oleh tubuh serta membantu melindungi arteri. Ia juga berupaya untuk menghalang darah beku dan juga mengurangkan risiko serangan stroke.

DIET UNTUK MENCEGAH BENJOLAN PADA PAYUDARA
(1) Hindari makanan berlemak dan bergoreng
(2) Hindari makanan ringan yang masam
(3) Kurangkan minum kopi dan minuman bergas
(4) Berhati-hati semasa mengambil ubat selsema ataupun aspirin
(5) Ambil makanan mengandungi vitamin E,B-6, dan evening primrose oil

Tip Untuk Memulakan Penyusuan Susu Ibu



Memberi susu badan adalah salah satu hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada anak anda.

Kebaikannya tidak terkira. Untuk memastikan anda dapat bermula dengan baik, cuba guna tip-tip ini untuk memudahkan penyusuan anda bermula.

1)Cuba menyusu sebaik sahaja bayi dilahirkan didalam bilik bersalin.

2)Bayi yang berusia beberapa minit selalunya dapat mencari dimana payudara ibu berada. Proses ini mungkin memakan masa, jadi bersabar dan cuba sedaya upaya bersama dengan bayi sepanjang masa.

3)Kurangkan pelawat untuk memastikan masa anda bersama bayi tidak terganggu.

4)Pastikan anda dan bayi tidur dan bangun dalam masa yang sama. Jangan guna nipple artificial· Menyusu ‘on demand’.

5)Jangan terlalu mengikut jadual. Menyusu sebanyak mana yang bayi mahu. Selalunya berakhir 10 hingga 40 min setiap kali penyusuan.

6)Jangan cuba memberi susu apabila bayi menangis dengan kuat. Dodoikan dulu dan apabila tangisan sudah reda, barulah memberikan susu.

7)Pastikan anda selesa semasa menyusu. Letakkan bantal untuk menyokong belakang dan kepala.Pastikan kepala bayi berhadapan dengan buah dada supaya dia tidak perlu berpusing.

8)Mulut dan hidung sepatutnya menghadap puting anda· Sokong buah dada supaya ia tidak menekan dagu bayi.

9)Letakkan bayi ke arah buah dada anda dan galakkan bayi untuk membuka mulutnya. Sokong belakangnya bukan kepalanya. Hidung bayi sepatutnya menyentuh buah dada anda.

10)Sekiranya anda merasa sakit, dengan lembut pisahkan mulut bayi anda dari puting dan cuba lagi. Pastikan belakang anda selesa. Jangan terlalu membongkok ke arah bayi kerana ia boleh memberikan sakit belakang.

sumber;http://portal.alamhamil.com

10 Tanda Anda Hamil


Sekiranya anda sangat memahami tubuh anda, anda mungkin mula terasa sesuatu yang tidak kena pada badan anda. Kebanyakan wanita tidak mengesaki diri mereka mengandung sehingga janin yang sedang terbentuk mula merapatkan dirinya kedinding rahim. Segelintir pula masih tidak merasa apa-apa simptom sehinggalah beberapa minggu selepasnya atau setelah mereka tidak mengalami haid pada hari yang sepatutnya.

Dibawah terdapat beberapa tanda awal kehamilan. Anda mungkin mengalami sebahagian daripadanya atau tiada langsung!

1. Rasa lapar yang berpanjangan

Juga terjadi pada orang yang tidak hamil tetapi lebih kerap terjadi pada awal kehamilan. Jangan bergantung sepenuhnya kepada tanda ini tetapi sekiranya ia berlaku disamping tanda-tanda kehamilan yang lain, bersiap-sedialah untuk membilang hari anda.

2. Perubahan pada warna di sekliling payudara

Sekiranya kulit disekitar puting anda menjadi kehitaman, kemungkinan anda sudah pun beberapa minggu mengandung. Walaubagaimanpun, ia juga terjadi disebabkan oleh ketidak seimbangan hormon tidak berkaitan dengan kehamilan atau disebabkan kandungan yang terdahulu.

3. Kerap membuang air kecil

Sekiranya janin sudah mula terbentuk dan rahim yang semakin membesar mula menekan pundi kencing anda, anda akan mersa kerap untuk buang air.

4. Merasa tidak bermaya

Rasa seperti tiada tenaga sepanjang masa? Hormon yang dikeluarkan di masa awal kehamilan boleh membuatkan anda berasa letih dengan cepat. Rasa letih dan tidak bermaya adalah sesuatu yang kerap terjadi di awal kehamilan.

5. Sakit dan tegang pada buah dada

Sekiranya anda mengandung, buah dada anda akan menjadi semakin sakit pada sentuhan, agak serupa dengan ketidak selesaan yang terjadi pada buah dada anda sebelum haid. Apabila badan sudah menjadi biasa dengan kejadian hormon ini, kesakitan akibat ketegangan akan menjadi semakin berkurangan.

6. Pendarahan implantasi dan senak pada ari-ari

Lebih kurang 8 hari selepas ovulasi, anda mungkin akan mengalami sedikit pendarahan dari faraj dan senak pada ari-ari akibat dari implantasi. Anda juga mungkin mengalami keadaan yang sama semasa pada sekitar masa anda sepatutnya datang haid hari pertama.

7. Rasa loya dan muntah

Sekiranya anda bernasib baik, morning sickness ini tidak akan menyerang, kecuali selepas beberapa minggu hamil. Tetapi segelintir wanita akan mula merasa mual dan rasa luar biasa pada lidah walaupun cuma selepas beberapa hari mengandng.

8. Suhu asas badan tinggi berpanjangan

Sekiranya anda memang sedang membuat pemerhatian dengan mengambil suhu badan asas anda setiap pagi, anda akan mendapati paras susu badan secara konsisten melebihi paras asas sejak dari hari pertama ia naik.

9. Missed period

Sekiranya haid anda teratur sebelumnya dan sekarang ia sudah lewat beberapa hari. Inilah masanya untuk anda menjalani ujian air kencing untuk kehamilan.

Dan akhirnya..

10. Ujian air kencing yang positif

Sekiranya anda sudah beberapa hari ketinggalan haid dan terdapat 2 jaluran pada ujian air kencing, kemungkinan besar anda sudah mengandung. Jumpalah doktor untuk kepastian dan...

...Tahniah!

Cross green.png
PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.

Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

sumber;http://portal.alamhamil.com

Khamis, 7 April 2011

Apakah Itu Proses Osmosis Songsang (RO)

Apakah sistem rawatan air yang terbaik?
Salah satu cara terbaik untuk menghasilkan air tulen, iaitu H2O adalah melalui proses osmosis songsang (RO).

1. Apakah itu proses RO?
Ia dicipta pada awal tahun 1950. Teknologi ini mengambil masa beberapa tahun sebelum ia disempurnakan di mana ia menyerupai proses penulenan alam semula jadi yang unik.


Air dipaksa (dengan tekanan) melalui membran yang istimewa dan ditulenkan ke tahap molekul. Liang yang amat kecil (atau pembukaan) pada permukaan membran hanya membenarkan molekul air melaluinya. Hampir kesemua pencemar termasuk sisa–sisa ubat-ubatan tidak mampu melalui membran ini.


2. Apakah itu membran?
Membran RO yang separuh terap ini menyerupai fungsi dinding membran sel hidup. Liang-liang dinding begitu kecil sehingga hampir kesemua pencemar terhalang. Membran menghalang hampir kesemua pencemar (walaupun saiznya amat kecil) dan pada masa yang sama membenarkan molekul H20 (air) melepasinya.


Dalam sistem RO yang berkualiti tinggi, keberkesanan liang membran adalah 0.0001 mikron ukuran garis pusat, iaitu bersamaan dengan 500,000 kali ganda lebih kecil berbanding dengan garis pusat rambut kita.


Berikut ialah carta yang menunjukkan saiz pelbagai pencemar air:
  • Pencemar Saiz partikel
  • Rambut/Abu 20 - 80 mikron
  • Bakteria 0.1 - 3 mikron
  • Virus 0.004 - 0.1 mikron
  • Bahan Kimia Bukan Organik > 0.0001 mikron
  • Logam berat terlarut/garam > 0.0001 mikron
3. Di mana dan bagaimana RO digunakan selain daripada digunakan dalam sistem penulenan air minuman di rumah?
RO digunakan oleh banyak syarikat multi-nasional, terutama yang terlibat dalam industri makanan dan minuman seperti air botol dan minuman ringan, dan industri-industri di mana bekalan air tulen adalah sangat penting seperti syarikat farmaseutikal dan pembuatan mikrocip. Rawatan hemodialisis dan kilang penyahgaraman seluruh dunia, termasuk Newater di Singapura juga menggunakan teknologi RO untuk menukar air laut kepada air minuman.


4. Bagaimana air RO berbeza daripada air tapisan yang lain?
RO boleh menyingkir partikel dan bahan terlarut sekecil 0.0001 mikron. Ia menyingkir hampir kesemua bahan pencemar seperti pencemar biologikal, bahan kimia organik, mineral bukan oganik, produk sampingan disinfeksi, kesan ubat-ubatan dan lain-lain. Yang penting sekali, anda memperoleh air tulen sahaja.


5. Memandangkan semua sistem RO menggunakan membran, adakah ini bermakna kesemuanya sama bagus?
Salah. Anda mendapat apa yang anda bayar. Terdapat pelbagai gred membran RO yang berbeza. Tambahan pula, penapis dan membran tersembunyi daripada penglihatan, anda tidak dapat mengenal pasti jika jaminannya adalah betul. Komponen lain dalam unit mungkin juga menyumbang kepada pencemaran semula. Di situlah pensijilan antarabangsa menjadi faktor penting.


6. Bolehkah air menjadi terlalu tulen untuk kesihatan?
Pastinya tidak! Ini adalah seperti mengatakan bahawa makanan kita terlalu tulen, atau udara terlalu tulen! Sebenarnya, air yang tulen akan membantu membersihkan badan kita serta menguatkan sistem badan kita.


7. Perlukah kita minum air beralkali untuk kesihatan badan kita?
Memang benar 80% daripada makanan yang kita makan patut bersifat alkali secara semula jadi, namun bukan untuk air. Air bukan pembekal nutrien. Air tulen secara semula jadi bersifat asid. Setitis air hujan terbentuk dengan pH lebih kurang 5.7. Oleh itu, alam semula jadi membekalkan air yang rendah dari segi pH.


8. Adakah air RO yand rendah pH-nya tidak sihat?
pH air tulen tidak ada kena mengena dengan kesihatan air. Apabila anda telan air tulen, badan anda akan menukar pHnya mengikut keperluan pada masa itu. Oleh itu, kita tidak perlu bimbang. Sebagai contoh, jus oren adalah 10,000 kali ganda lebih berasid daripada air RO, tetapi ia masih minuman yang sihat!

PROSES KEJADIAN MANUSIA MENURUT AL-QURAN

PERINGKAT SATU

NUTFAH : iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani

Maksud firman Allah dalam surah al-Insan : 2

" Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat "


Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas samada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran


Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia daripada air mani lelaki dan air mani perempuan.

Daripada nutfah inilah Allah menciptakan anggota-anggota yang berlainan , tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentunya saraf, tulang dan fakulti , manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.

A- Sperma B-Sperma menembusi ovum


PERINGKAT KEDUA

ALAQAH : Peringkat pembentukan alaqah ialah pada hujung minggu pertama / hari ketujuh . Pada hari yang ketujuh telor yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi alaqah.

Firman Allah yang bermaksud

" Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi alaqah"

al-Mukminun : 14

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu alaqah mempunyai beberapa maksud :

  • sesuatu yang bergantung atau melekat
  • pacat atau lintah
  • suatu buku atau ketulan darah

Peringkat alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga did alam rahim.


PERINGKAT KETIGA

MUDGHAH : Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14

Firman Allah yang bermaksud

"lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging"

al-Mukminun : 14


Diperingkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk.Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi kesitu bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.


PERINGKAT KEEMPAT

IZAM DAN LAHM : Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan oto-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut.

Firman Allah yang bermaksud :

"Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi izam da kemudiannya Kami membalutkan Izam dengan daging"

al-Mukminun : 14

Kemudian pada minggu ketujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus , seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke paru-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah pinggang, pundi air kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.

Janin pada usia 12 minggu


PERINGKAT KELIMA

NASY'AH KHALQAN AKHAR : Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan , beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin.Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatel bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja.


Janin makan melalui uri

PERINGKAT KE ENAM

NAFKHUR-RUH : Iaitu peringkat peniupan roh. Para ulamak Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi.

Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah s.w.t melalui ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A'raf : 172. Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan disisi Allah s.w.t

Khamis, 17 Mac 2011

Punca Rabun Warna


CUBA bayangkan betapa bosannya jika hidup kita hanya dikelilingi warna hitam dan kelabu. Kehidupan inilah dilalui individu yang mempunyai masalah penglihatan, termasuk yang rabun warna atau lebih dikenali sebagai colour blindness .

Ada orang menyebutnya buta warna, tetapi istilah ini kurang tepat kerana masalah buta warna, iaitu hanya boleh melihat warna kelabu, jarang berlaku.

Kebanyakan orang yang rabun warna tidak boleh membezakan beberapa tona warna merah dengan hijau atau biru dengan kuning, sama ada dalam keadaan terang atau cahaya samar.

Dalam kebanyakan kes, rabun warna adalah masalah keturunan. Namun, penyakit mata dan kesan sampingan ubat tertentu juga boleh menyebabkan masalah rabun warna.

Masalah ini lebih kerap berlaku di kalangan lelaki pada nisbah lapan lelaki kepada seorang wanita. Kebolehan melihat warna dalam spektrum warna bermula dengan keupayaan mata membezakan secara tepat tiga warna utama iaitu merah, biru dan hijau.

Cahaya memasuki mata melalui kanta dan menerobos masuk ke bahan lut sinar seperti jeli (yang mengisi ruang di belakang kanta mata) dipanggil jasad untuk sampai ke sel yang sensitif terhadap warna (kon) di retina.

Bahan kimia dalam sel kon ini akan membezakan warna dan menyalurkan maklumat ini melalui saraf optik untuk dihantar ke otak. Jika mata anda normal, anda akan dapat membezakan beratus-ratus nada warna.

Jika sel kon ada kekurangan bahan kimia yang sensitif terhadap cahaya, anda hanya boleh melihat dua warna utama dan biasanya individu rabun warna ada masalah melihat warna merah dan hijau.

Sebaliknya, jika diberikan spektrum warna, individu ini akan melihat warna merah atau hijau sebagai kelabu. Bagaimanapun, tidak semestinya mereka tidak boleh melihat warna merah atau hijau.

Masalah rabun warna boleh dibahagikan kepada tiga; ringan, sederhana dan serius; bergantung kepada jumlah kehilangan bahan kimia yang sensitif kepada cahaya dalam sel kon.

Kekurangan sensitiviti pada warna merah biasanya memberi kesan sama kepada warna hijau. Jadi, lebih ramai individu yang mengalami masalah rabun warna lebih sukar melihat warna hijau.

Malangnya, ramai yang mengalami masalah ini tidak menyedari mereka rabun warna. Mereka tahu hijau untuk daun dan bunga mawar pula warna merah, tetapi mereka mungkin melihat warna yang tidak sama dengan orang lain.

Pada mereka, hijau adalah warna yang kita lihat kuning, tetapi disebabkan sudah diajar dari kecil daun warnanya hijau, mereka menerima ‘kuning’ sebagai hijau.

Ada beberapa punca yang menyebabkan rabun warna:

Faktor genetik. Dalam kebanyaan kes, gen rabun warna diturunkan daripada emak kepada anak lelaki. Wanita lebih beruntung kerana mempunyai bahan baka yang boleh mengatasi masalah ini. Faktor genetik juga menyebabkan kebanyakan orang sukar melihat warna merah dan hijau. Tahap masalah tidak berubah dengan peningkatan umur.

Penyakit mata. Apabila retina mata dijangkiti penyakit tertentu, anda mungkin mengalami masalah membezakan warna biru dan kuning.

Gangguan saraf optik juga boleh menyebabkan kerengsaan pada saraf.

Kekurangan zat seperti vitamin A juga didapati menyukarkan anda mengenalpasti warna.

Kerengsaan menyebabkan sebelah mata membuat penafsiran warna yang berbeza dengan mata sebelah lagi. Malah, pandangan kabur akibat masalah katarak akan menyukarkan anda melihat warna.

Kesan sampingan ubat seperti tamozifen; yang diambil untuk mengelakkan barah payu dara.

Umur. Kebolehan melihat warna akan bertambah baik dengan peningkatan umur, terutama pada umur 30-an. Keupayaan ini akan berkurangan apabila seseorang bertambah tua.

Biasanya orang tidak sedar mengalami masalah rabun warna. Rasa syak hanya timbul apabila anak keliru atau selalu membuat kesilapan mengenal warna lampu isyarat atau bahan pendidikan berwarna.

Jika ini berlaku, bawa segera anak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan supaya punca masalah ini dapat diketahui. Jika rabun warna disebabkan penyakit, dia sebenarnya ada peluang melihat warna dengan lebih baik jika penyakitnya dapat diubati.


Ujian untuk rabun warna boleh dilakukan mana-mana oftamologi dengan menggunakan kad bintik warna dan nombor. Jika mata anda tidak bermasalah, anda dengan mudah dapat membezakan nombor dan bentuk yang tersembunyi dalam bintik warna tadi.

Sebaliknya, jika anda rabun warna, anda sukar melihat nombor atau bentuk dimaksudkan. Ada kemungkinan semua yang ditunjukkan kelihatan sama saja.

Walaupun tiada rawatan dan cara mengelakkan masalah rabun warna, tetapi perubatan moden dapat membantu anda melihat warna dengan lebih baik dengan memakai kaca mata berpenapis atau kanta sentuh berwarna.

Bagaimanapun, teknik ini ada kelemahannya kerana ia biasanya bertindak pada sebelah mata saja dan boleh mengganggu keupayaan anda menentukan jarak.

Cross green.png
PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.

Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

Kisah wanita dan Rasulullah

Suatu hari ada wanita muslimah datang ke Pasar Bani Qainuqa’ untuk suatu keperluan yang ia perlukan. Ia menghampiri salah satu pedagang Yahu...