Sabtu, 29 Oktober 2011

Ketahui Tumbesaran Anak Anda

Assalamualaikum dan salam penuh keceriaan,

Maha suci Allah yang menciptakan akan sesuatu daripada tiada kepada ada dengan sendirinya. Hebatnya Allah dengan segala kekuasan dan zat yang tidak dihitung banyaknya. Begitu juga penciptaan manusia di bumi ini, diutuskan sebagai wakil Allah ataupun sebagai khalifah bagi memakmurkan dunia ini. Anak yang dulunya dikendong sewaktu kecil semakin membesar mengikut peredaran masa. Segala perubahan fisiologi mereka dikawal oleh Allah S.W.T dan telah dilahirkan sempurna fitrahnya. Jika kita ingin meniru atau mencipta akan sesuatu setara dengan ciptaanNya waima sehelai bulu mata sekalipun, pastinya takkan boleh. Nah, betapa lemahnya manusia itu berbanding luasnya ilmu Allah. Allahu Akbar !

Dikesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit bagaimana untuk kita sebagai para ibu bapa untuk memahami perkembangan tumbesaran anak-anak mengikut keupayaan fizikal dan mental mereka setiap peringkat yang telah disusun sempurna oleh Penciptanya.

Peringkat Pertama : Mengenal pasti isyarat alam persekitaran dan orang sekeliling Mereka masih keliru tentang perubahan siang ke malam dan kadar frekunsi pendedahan bunyi yang diterima. Ketika ini mereka banyak menggunakan bantuan visual bagi melatih koordinasi mata untuk berfungsi sebaiknya. Tahukah anda bahawa, bayi anda bukannya tidur apabila hari sudah gelap, tetapi kerana isyarat deria mata menyuruhnya untuk tutup. Mereka akan mula mengenal muka anda sebagai orang yang dipercayai dan akan menangis apabila melihat sesuatu yang asing baginya.

TIP: Pada peringkat ini, anda haruslah kerap menghantar isyarat melalui pandangan mata kepada anak anda. Kurangkan juga pendedahan cahaya yang melampau terhadap mereka dan banyakkan memeluk mereka bagi membuatkan mereka berasa tenang dan selesa di usia awal mereka itu.

Peringkat Kedua : Keseimbangan bagi separuh anggota badan Di bulan ketiga kelahiran, bayi anda akan mula menunjukkan keupayaan mereka untuk membalikkan badannya ataupun meniarap. Kebolehan meniarap ini adalah disebabkan oleh kematangan koordinasi mata mereka yang telah dilatih pada peringkat pertama tadi. Mereka akan menegakkan leher dan kepala untuk mula bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Melalui kematangan deria mata dan visual, bayi anda akan dapat mengawal kepalanya sebanyak 180 darjah pemandangan. Bayi anda membalikkan badannya agar merasa kestabilan melalui perutnya sendiri.

TIP: Agungnya ciptaan Allah ini ! Justeru itu, ibu bapa haruslah mengalakkan bayinya dan membiarkan mereka untuk terus meniarap bagi menyokong tumbesaran anggota badannya terutama bagi menguatkan anggota tangan dan kaki. Keupayaan bayi anda untuk meniarap dalam jangkamasa yang lama akan memudahkan mereka untuk pergi ke peringkat seterusnya.

Peringkat Ketiga : Latihan pengukuhan dan kekuatan otot badan. Kematangan deria visual dan anggota badan mereka semakin cekap bertindakbalas. Keupayaan merangkak pada bayi anda terjadi apabila mereka telah dapat menggunakan fokus mereka pada objek yang jauh. Mereka akan mula ingin mengapai benda yang tinggi dan berusaha untuk mencari benda yang tersembunyi.

TIP: Semakin banyak mereka merangkak semakin kuat otot badan mereka terbentuk.

TAHUKAH ANDA, bahawa penggunaan baby walker kepada bayi adalah salah. Pada hemat kita, dengan bantuan baby walker ini sedikit sebanyak dapat memudahkan mereka berjalan. Malangnya kita telah membantutkan pertumbuhan otot anggota badan anak anda. Mereka tidak lagi berupaya menggunakan sepenuh tenaga dan kudrat untuk bergerak. Jika diperhatikan sebahagian bayi yang menggunakan baby walker ini lebih lambat berjalan berbanding yang tidak. Ia umpama kita mempercepatkan proses tumbesaran bayi sebelum waktunya. Ia sama sekali bertentangan dengan fitrah. Oleh itu, biarkan mereka merangkak sepenuhnya sehingga mereka mula belajar untuk mendapatkan keseimbangan badan dengan sendirinya tanpa menggunakan sebarang alat bantuan.

Peringkat Keempat : Keseimbangan bagi keseluruhan anggota badan Segala keupayaan otot dan deria rangsangan bayi anda akan bergerak secara seiringan atau synchronise. Keseimbangan terhadap tarikan graviti juga telah dicapai dan kebolehan untuk mengawal anggota kaki untuk berdiri tegak dan bergerak. Keupayaan bayi anda untuk bertatih dan berjalan disebabkan oleh latihan yang cukup pada peringkat sebelumnya.

TIP: Oleh itu, anda haruslah memperbanyakkan mereka untuk bergerak walaupun sekadar menendang bola. Kadangkala, pada ketika ini bayi anda akan mula sedar bahawa mereka mempunyai kaki! Ini kerana, pada awal peringkat tumbesaran mata mereka tidak dapat melihat keseluruhan badannya. Berikan perhatian dan galakkan mereka untuk berjalan dengan memberikan kepercayaan terhadap mereka. Percayalah, di saat bayi anda telah berjaya untuk berjalan, sesungguhnya itulah kejayaan yang besar bagi mereka.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu sedikit sebanyak pengetahuan dan penjelasan kepada para ibu bapa bagaimana untuk membantu si manja anda membesar secara sihat dan semulajadi. Kadangkala kita hanya perlu berinteraksi dengan anak-anak secara semulajadi seperti berguling bersama-sama di katil, tanpa membazir membeli alatan yang tidak perlu. Semoga anda suami isteri menghargai setiap detik dan terus bahagia menikmati perkembangan tumbesaran dan keajaiban ciptaan Allah S.W.T ini. Semoga berjumpa lagi.

Sumber: excelqhalif.com

Romantik itu Sunnah Rasulullah S.A.W

Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.

Sifat-sifat yang sempurna inilah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.

Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.

Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.

Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.

Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.

Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.

Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.

Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.

Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.

Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.

Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.

Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.

Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”.Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.

Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.

Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.

Sumber: http://www.imamudasyraf.com/

Kisah wanita dan Rasulullah

Suatu hari ada wanita muslimah datang ke Pasar Bani Qainuqa’ untuk suatu keperluan yang ia perlukan. Ia menghampiri salah satu pedagang Yahu...