Menelusuri ringkas kehidupanku, aku dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana, namun ayah menghantar aku ke sekolah Inggeris pada pendidikan rendah dan bersekolah agama di sekolah menengah. Dibesarkan dalam keadaan begitu, aku menjadi terbuka kepada keadaan.
Di peringkat universiti, aku memilih jurusan Bahasa Inggeris sebagai "major".Membaca dan membesar dengan artikel Inggeris, filem-filem Inggeris dan lagu-lagu Inggeris, aku menjadi "terbuka". Terkadang hatiku bercelaru di antara sempadan "keterbukaan" itu dan batasan agama.
Namun, Allah itu Maha Mengetahui. Sehebat-hebat peracangan manusia, lebih sempurna lagi perancangan Allah. Aku berkahwin dengan lelaki dari luar bangsa asing dari luar negara, namun masih beragama Islam. Melaluinya, aku mengenal luasnya rahmat Allah, kepelbagaian tradisi dan budaya, makanan, bahasa dan lain-lain lagi. Makin panjang usia pernikahan kami, makin banyak yang aku pelajari. Minda ku bertambah terbuka mengenal perbezaan dan persamaan manusia, namun semua masih berbalik pada Allah yang Esa.
Akhir-akhir ini, aku diuji lagi. "keterbukaan"ku diuji Allah lagi apabila suami memberitahu yang dia mahu bernikah lagi. Seorang janda warga Eropah beranak dua. Dia mahu mengenal Allah dan Islam. Hati wanitaku dicabar. Cinta dan kesetiaanku diuji. Mahu saja aku memohon cerai kerana tak sanggup dimadu. Kuajukan masalahku kepada kadi. Aku dinasihatkan bertenang dan mohonlah dari Allah dari jalan Solat dan Sabar.
Maka, aku melakukan istikharah. 2 kali aku melakukan istikharah, aku mendapat petunjuk Allah lebih menyukai aku untuk terus setia di samping suami. Suami juga telah memohon ulama' dan imam besar di negaranya untuk melakukan istikharah, dan beliau berpendapat suamiku wajar menikahi wanita itu.
Lalu aku pun bermadu. Luluh juga hati wanitaku saat itu, namun jika ini yang ditaqdirkan Allah bagiku, aku takkan mampu melakukan apapun untuk menghentikannya. Saat pertama kali aku melihat maduku, luluh lagi hati wanitaku, namun, ku temui ciri wanita solehah padanya.Saat dia mengulangi shahadahnya padaku, kurasakan airmataku mengalir. Dia kini saudaraku dan biarpun hati wanitaku dihiris luka, aku mulai ikhlas menyayanginya.
Suami meminta aku membantu dalam membimbingnya. Saat kali pertama dia mengenakan hijab di kepalanya, dia enggan menanggalkannya biarpun aku terkadang risau dia panas/ rimas. Saat aku mengajarkannya tentang Islam, dia begitu bersunguh-sungguh. Biarpun kurang fasih berbahasa Inggeris, maduku sering menyuruhku membacakan ayat-ayat Quran dan doa-doa, lalu ditulisnya dalam tulisan yang difahaminya.
Terkadang datang juga godaan syaitan untuk menghasut aku untuk menyakitinya, menyakiti hatinya, namun aku teringat, DENGKI ITU IBARAT API YANG MEMBAKAR KAYU. Aku tentu tidak mampu menjawab di hadapan Allah jika aku menyakitinya dengan sengaja. Aku malu untuk menyakitinya demi untuk merebut cinta suamiku. Aku lebih tidak mahu Islam itu menjadi fitnah jika aku menyakitinya dengan sengaja. Apa yang aku mahu tunjukkan kepada maduku yang jua merupakan saudara baru? Adakah aku mahu tunjukkan yang wanita Islam itu sombong belaka? Wanita ISlam itu suka menyakiti? Wanita Islam itu tidak adil dalam berkasih sayang? Tidak sama sekali!!!
Naluri wanitaku tercalar juga oleh pedihnya poligami, namun Islam Itu Indah. Islam itu Perdamaian. Islam Itu Persaudaraan. Teringat aku pada satu ceramah Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kazim Ilyas, di mana Ustaz Azhar Idrus menceritakan bagaiman orang Ansar menolong orang muhajirin, memberikan rumah, pakaian, isteri, harta benda, perniagaan, kerana jiwa orang Ansar telah "dibeli" oleh Allah. Lantas, aku tahu, aku tidak akan mampu menjadi sehebat orang Ansar. Namun, jika Allah memilih aku bermadu, aku tentu mampu berkongsi sedikit kasih suami. Hidupku yang didorong bersifat "terbuka" ini jugalah mungkin cara Allah memberikan aku kekuatan untuk menerima poligami.
Maduku tentunya lebih mulia berbanding aku kerana dia seperti bayi yang dilahirkan. Suci. Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu. Kini, dia hamil anak suamiku, anak kami, tentu dia juga lebih dikasihi Allah dariku, kerana amalannya wanita hamail lebih disukai Allah. Para Malaikat sedang mendoakannya siang dan malam.
Melihat maduku menjadikan aku lebih insaf. Aku dilahirkan Islam, namun tidak mengenal Allah. Bila Allah mentakdirkan aku bermadu, aku seperti ditampar kuat. Ia menyedarkan aku bahawa suami yang aku paling cinta ini juga hanyalah pinjaman. Bila Allah mentakdirkan aku berkongsi suami,aku kembali tersedar, suamiku juga bukan milikku yang mutlak.
Melihat maduku bersolat dan mempelajari Islam, membuatkan aku sedar, betapa beruntungnya aku dilahirkan dan dibesarkan di sini. Aku bebas dan mudah mempelajari Islam. Maduku membuatkan aku tersedar tentang satu perkara,aku mungkin tahu apa itu islam, tetapi maduku mengajar aku untuk lebih mengenal Allah dan ketentuan takdir. Dia memahamakan aku tentang kuasa mutlak Allah atas sesuatu.
Bila maduku meminta aku mengajarkan sesuatu, aku rasa terharu. Sebenarnya, bukan hanya dia yang belajar, malah aku lebih belajar lagi. Maduku memahamkan aku tentang Iman, tentang Tauhid.Maduku menguatkan maksud hidup yang sebenar.
Aku sebenarnya bersyukur dimadukan. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dimadulah aku sekurang-kurangnya kembali ke jalan Illahi. Banyak benar nikmat Allah yang telah lama aku lupai. Allah tidak pernah melakukan sesuatu itu sia-sia. Suamiku juga kini lebih mengambil berat tentang hati dan perasaanku.
Biarpun berpoligami, aku belum lagi berasa kurang, malah aku merasa lebih. Kini, suami lebih memberikan perhatian dan kasih sayangnya padaku. Dia lebih terbuka menyatakan perasaannya. Bila suami bergilir di rumah maduku, aku mempunyai lebih masa untuk diriku sendiri. Maduku sering berkongsi masakan dari negaranya. Malah, pada saat aku sakit, madukulah yang memasak dan menjagaku dan membantu menguruskan suami. Jadi, aku boleh lebih berehat dan lebih cepat sembuh.
Hidup ini adalah pilihan. Bila Allah mentaqdirkan sesuatu ke atas kita, tentu ada kebaikan padanya jika kita mahu berfikir. Aku boleh memilih untuk bercerai dari suamiku, tapi untuk apa? Aku dan suamiku masih saling mencintai. Aku boleh memilih untuk meruntuhkan rumahtangga suamiku untuk memisahkan mereka, tapi mampukah aku menjawabnya di hadapan Allah?? Aku boleh memilih untuk bermasam muka dan merajuk dengan suami, tapi sampai bila?? Lantas aku memilih untuk cuba hidup dalam kasih sayang Allah. Aku tidak tahu berapa lama umurku dipinjamkan Allah. Mungkin madukulah nanti yang akan menjagakan suamiku. Mungkin anak dari maduku inilah yang akan menjaga aku saat aku dan suami sudah tua nanti, atau mungkin umur suamiku tidak panjang, maka maduku dan anaknya inilah yang akan menemankan aku.
Hidup kita ini milik Allah. Hiduplah dengan bahagia. Usah memilih derita dan dendam. Kasih sayang itu indah. Manusia hanya mampu merancang, namun perancangan Allah itu Maha Sempurna. Aku yakin, setiap yang berlaku, biarpun betapa buruk dan pedih, tentu Allah akan mentaqdirkan kebaikan yang banyak padanya (apabila kita memahami). Allah tidak pernah zalim, cuma kita yang zalim bila kita enggan menerima ketentuan Allah.
Sumber- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan